Wednesday, January 8, 2014

Tsubasa gerabak nombor 11








Tsubasa gerabak nombor 11

Tsubasa nombor 30 bergerak laju meninggalkan stesen Fukushima. Biarpun menjadi antara bandar yang mencapai carian tertinggi di laman internet pada tahun 2011, bandar itu nampak tenang hari itu. Sepertinya tidak pernah berlaku di pesisir pantainya kebocoran loji nuklear pada Mac 2011.

Hajar membuang pandang ke luar tingkap bullet train itu. Terngiang-ngian lagi suara naqibahnya, Kak Syafiqah tempoh hari. Ada lamaran yang datang untuknya. Ya, lamaran membina baitul muslim. Tetapi belum sempat naqibahnya itu menyebut nama lelaki yang bertanyakan tentang dirinya itu, Hajar terlebih dahulu menolak dari mengetahuinya. Dia merasakan bahawa dirinya belum cukup bersedia. Dan dia juga bimbang dia akan membuat pertimbangan yang berat sebelah. Dia mahu istikharahnya tidak dibayangi identiti lelaki itu, lebih-lebih lagi jika dia mengenali lelaki itu. Dia telah dan masih meneruskan istikharah di lewat malam-malamnya. Umi dan abahnya di Malaysia tidak membantah. Sekarang yang tinggal hanya jawapan dari dirinya.

Jauh dia mengelamun sehingga tidak sedar tren itu sudah sampai di Utsunomiya, bandar utama bagi negeri Tochigi. Mata hajar tidak berkelip saat ada susuk yang tiba-tiba mengambil tempat di sebelahnya. Oh, Hajar hampir terlupa bahawa hari ini dia mengambil reserved seat. Makanya, kemungkinan untuk sesiapa sahaja duduk di sebelahnya sangat tinggi berbanding non-reserved seat yang mana dia bebas meletakkan beg di tempat duduk sebelah jika dia tidak mahu sesiapa mendudukinya, melainkan jika ada yang meminta untuk duduk. Hajar mengetap bibir pula apabila yang duduk di sebelahnya ialah lelaki melayu. Sebesar-besar pulau Jepun ini, boleh pula dua orang melayu ini terserempak dalam satu gerabak yang sama, sebelah-menyebelah lagi duduknya.

“Malaysia?”. Soalan itu menerjah gegendang telinga Hajar. Kerana terkejut dengan soalan itu, Hajar hanya mengangguk tanpa membuka mulut.
“Universiti mana?”. Sekali lagi soalan buat Hajar.
“Yamagata”. Hajar menjawab pendek. Tidak pula dia mahu bertanya lelaki itu pula belajar di mana. Entahkan pelajar atau tidak, Hajar malas mahu ambil tahu.
“Anas Muhammad. Utsunomiya University”. Lelaki itu memperkenalkan diri tanpa dipinta. Hajar sambut dengan senyuman kecil. Maaflah, dia bukan sombong tetapi dia memang tidak pandai bercakap dengan orang yang pertama kali jumpa.
“Hajar”. Kesian pula pada si Anas ini kerana dia beriya memperkenalkan diri, Hajar pun memperkenalkan dirinya. Patut ada rasa gembira kerana sebesar-besar negara matahari terbit itu, dia dapat bertemu orang satu tanah air dengannya. Dan lebih daripada itu lagi, orang yang seaqidah dengannya.

Entah bagaimana perbualan antara mereka boleh berlarutan. Bagi Hajar, Anas seorang yang peramah tetapi sangat sopan dalam pertuturan. Orang Kelantan kata ‘lacak’, boleh dibawa berbual. Dan bualan Anas bukanlah bualan kosong. Dia nampak seronok berkongsi berita baru tentang apa yang berlaku di Mesir, Syria dan Palestin sekarang. Hajar lebih banyak mendengar. Kadang-kala mengangguk tanda setuju dengan pendapat Anas. Tahu-tahu sahaja tren itu sudah sampai di stesen Ueno. Hajar turun di situ. Gerabak nombor 11 itu terus membawa Anas ke stesen terakhir iaitu Tokyo.
Hajar berjalan keluar dari platform . Entah kenapa hatinya rasa senang mengenali Anas. Astaghfirullah al azim. Cepat-cepat Hajar beristighfar. Takut pula perasaan lain singgah dalam hati. Dia mengambil local train seterusnya ke rumah kawannya dan tidur di sana.

************

Hajar bangun pagi itu. Kurang dari sejam lagi dia akan bertolak pulang ke Yamagata setelah hampir dua hari bermusafir ke Tokyo. Fikirannya semalam yang penuh tentang itu, dan mimpi malam tadi. Ya, mimpi itu memberi ilham kepadanya. Seolah-olah jawapan pada istikharahnya selama ini. Iphone dicapai. Nombor naqibahnya Kak Syafiqah didail.

“Assalamualaikum.” Kedengaran suara Syafiqah di sebelah sana. Hajar menyambut salam itu.
“Siapa nama orang tu, Kak Fiqa?” Hajar bertanya. Merujuk kepada lelaki yang melamarnya.
“Orang tu?” Syafiqah blur.
“Oh! Orang tu ke.” Belum sempat Hajar menjelaskan Syafiqah sudah dapat tangkap. Hajar pula yang berdebar.
“Anas. Anas Muhammad.” Hajar terdiam mendengar jawapan Syafiqah.



22:55|17 Disember 2013

1 comment:

Dewi Aja said...

Hello! Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Apakah Anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami http://kbagi.com/ atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.
Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)